
Blurb di belakang novel:
Teknologi memindahkan genetik haiwan dan tumbuhan kepada embrio yang diklonkan daripada manusia sudah ditemui. Kini, kita boleh mencipta manusia dengan kelebihan istimewa. Manusia dengan deria hidu sensitif seperti anjing, misalnya. Ataupun, manusia yang boleh menghasilkan makanan sendiri melalui fotosintesis. Inilah yang dilakukan oleh pakar genetik di Institut Trans-DNA, secara rahsia.
Sehinggalah segala-galanya terbongkar apabila subjek eksperimen yang terbebas dari makmal mula membunuh orang awam...
Dalam Transgenesis: Bisikan Rimba, Amir Husaini menggabungkan bakat penulisan luar biasa dan pengetahuan saintifik menakjubkan bagi menghasilkan fiksyen sains thriller yang hebat lagi mendebarkan.
Ulasan OD:
Hendak membaca novel yang lain daripada yang lain? Hendak mengintai apa sebenarnya yang sering bermain di fikiran ahli-ahli sains di seluruh dunia? Baca novel ini, novel yang ditulis sendiri oleh seorang ahli sains Malaysia. Bacalah ia dengan fikiran yang terbuka dan dengan fahaman, tidak ada sesuatu pun yang mustahil bagi ALLAH.
Dalam novel keduanya, Amir Husaini benar-benar menunjukkan kebolehan menghasilkan plot cerita yang begitu twisted sehingga mampu mempersembahkan kejutan demi kejutan kepada pembaca. Pembaca akan tertanya-tanya dan terus meneka tetapi jangan penatkan diri meneka kerana 9/10 tekaan pembaca pasti akan salah! (pendapat ini berdasarkan pengalaman OD sendiri meneka-neka apa yang akan terjadi seterusnya dalam novel ini... he he he)
Novel ini bukan sahaja mengenengahkan unsur-unsur sains sahaja tetapi sarat dengan pengajaran kepada kita yang bergelar manusia. Cinta, pegangan agama, mencari kebenaran, keadilan, identiti, dendam baru dan lama, fitnah dan kerakusan hati manusia disulam menjadi jalan cerita yang hebat. Watak-watak dalam novel ini saling berkait tetapi apa kaitan mereka? Itu kena baca sendiri untuk memperoleh jawapannya.
Tahniah kepada Amir Husaini. OD menunggu Transgenesis 2 diterbitkan pula. Tidak sabar untuk mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya kepada Flora, Datin Kay, tujuh beradik yang disebut oleh Wak Salamian dan watak-watak penting yang lain.


1 Cucu Komen:
Salam OD. Berbanyak terima kasih di atas ulasan dan maklum balas yang diberikan. Insya-Allah ia menjadi pendorong kepada saya untuk terus cuba melakukan yang lebih baik pada masa akan datang. Jika tiada aral, Transgenesis 2 (silap baca macam Transformers 2... hehehe) akan muncul tahun depan, insya-Allah. Dan akan terjawab sebahagian daripada soalan-soalan yang masih belum dijawab, di samping mengutarakan beberapa lagi misteri yang berbelit-belit.
P.S. Saya bukan lagi saintis sekarang ni. Saintis pencen, mungkin. Hehe...
Catat Ulasan